SIAPAKAH 'ANU' WAR SEBENARNYA....
Anak kelahiran Cheruk Tok Kun di Seberang Perai bukan dilahirkan dari kalangan ulama. Bapanya, Datuk Ibrahim, pernah menjadi Setiausaha Parlimen di Kementerian Kesihatan di era Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj.
Sebelum menceburkan diri dalam politik, Ibrahim, bapa Anwar, pernah menjadi attendant hospital. Barangkali mengenangkan jawatannya sebagai attendant, maka Tunku melantik bapa Anwar sebagai Setiausaha Parlimen di Kementerian Kesihatan.
Boleh dikatakan keluarga Anwar menyokong UMNO. Emak Anwar sendiri seorang pemimpin Wanita UMNO yang terkenal di Seberang Prai.
Menurut sumber Tok Wannya, sebelah bapanya, dikatakan dari keturunan India dan dikatakan memeluk agama Islam. Tok Wan Anwar dikatakan berkahwin dengan wanita keturunan Cina yang dibela oleh keluarga Islam. Barangkali Anwar dan suku-sakatnya boleh menerangkan lebih lanjut lagi siapakah gerangan keturunannya itu.
Janganlah hairan bin terkejut kalau Anwar petah berucap. Bukankah orang keturunan India bijak bercakap walaupun Anwar tidak mempunyai lenggokan kepala seperti kebanyakan orang India? Melihat dari keturunan bapanya, bermakna Anwar adalah generasi kedua dari keturunan India campur Cina.
Itu bukan salah ibu mengandung. Mantan Perdana Menteri Malaysia juga mempunyai darah campuran. Tunku Abdul Rahman Putra ada darah Siam, Tun Razak keturunan Bugis, Tun Hussein Onn ada darah Turki, Tun Mahathir pula campuran Melayu dengan India dan Tun Abdullah pula ada campuran Cina.
Oleh itu Anwar tidak perlu gusar kerana ada titisan darah India dalam tubuhnya. Tuah dan sial seseorang pemimpin bukan terletak pada keturunannya yang punya darah campuran tetapi apakah dia dapat diterima atau pun tidak sebagai pemimpin super sohor oleh rakyat jelata yang berbilang kaum seperti Malaysia ini.
Anwar ada matlamat dalam perjuangannya. Dia bertekad hidup atau mati mempertahankan hasratnya yang maha tinggi untuk menjadi bakal Perdana Menteri. Dia akan menentang siapa saja yang bakal menjadi penghalangnya.
Dia juga sedar tidak mudah menjadi seorang pemimpin popular yang boleh diterima rakyat jelata. Ia tidaklah semudah membuat cucur kodok ala Samsidar.
Menurut Ummi Hafilda, Anwar sangat menggemari cucur kodok bikinan Samsidar, isteri Azmin Ali, kakak ipar Ummi Hafilda.
Anwar sedar risikonya tapi dia tidak gentar menghadapinya. Jiwa dan jasadnya untuk perjuangan bagi merealisasikan mimpi indahnya sebagai bakal Perdana Menteri. Kata peribahasa Melayu, “bujur lalu melintang patah”. “Alang-alang seluk pekasam, biarlah sampai ke pangkal lengan”. Nafsu dan keazaman inilah yang membakar dirinya.
Tapi Anwar bukan tolol orangnya. Sejak di kampus Universiti Malaya dia sudah buat rancangan infrastruktur politik untuk menjadi pemimpin tersohor kelak. Kalau di Kolej Melayu dia berminat memperjuangkan Islam menurut pemahamannya, maka di kampus Universiti Malaya, suaranya yang lantang mengkritik kerajaan mendapat perhatian luar biasa bukan saja di kalangan pelajar-pelajar universiti, tetapi juga di kalangan rakyat khasnya orang Melayu.
Kerana retorikanya yang mirip Sukarno dengan wajahnya yang kacak pada waktu itu, Anwar dapat memukau para pendengar baik lelaki mahu pun perempuan.
Di kampus inilah dia dijulang sebagai pemimpin ABIM (Angkatan Belia Islam Malaysia) dan juga sebagai pemimpin PPIUM (Persatuan Pelajar-pelajar Islam Universiti Malaya). Malah dia juga dilantik sebagai Pengerusi PBMUM (Persatuan Bahasa Melayu Universiti Malaya).
Ketiga-tiga pertubuhan yang dipimpin Anwar memang mempunyai impak yang kuat, bukan saja dalam kampus tetapi juga di kalangan masyarakat Melayu.
Tahun-tahun enam puluhan (1960-an) dan awal tujuh puluhan (1970-an), merupakan period perjuangan mengisi kemerdekaan khasnya dalam bidang perjuangan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan selepas 10 tahun kemerdekaan menurut Perlembagaan Negara.
Penyata Razak 1956 dijadikan landasan dalam pembentukan sistem pendidikan nasional di mana bahasa Melayu menjadi bahasa pengantar utama di semua sekolah kebangsaan hingga ke peringkat universiti.
Dalam tahun enam puluhan (1960-an), lahirnya Barisan Bertindak Bahasa Kebangsaan yang saya pimpin, menggesa kerajaan melaksanakan Fasal 152 Perlembagaan Negara yang menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi yang tunggal dalam pentadbiran kerajaan dan pendidikan negara.
Barisan Bertindak Bahasa Kebangsaan, PBMUM dan PENA (Persatuan Penulis Nasional) merupakan NGO-NGO Melayu yang lantang memperjuangkan bahasa Melayu pada waktu itu.
Di kampus pula wujud “Sudut Pidato” (Speaker’s Corner) di mana para siswa boleh meluahkan pandangan mereka dalam berbagai isu di sudut pidato tersebut. Boleh dikatakan para pelajar universiti sangat peka mengenai politik nasional dan sebahagian besar dari para pemimpin mereka berpihak kepada pembangkang.
Perlulah diingat selepas peristiwa berdarah 13 Mei 1969, nasionalisme Melayu mencapai puncak perjuangannya. ITM (Institut Teknologi MARA) lahir atas kebangkitan semangat Melayu yang ingin merubah nasib anak-anak bangsa melalui pendidikan.
Atas semangat perpaduan Melayu juga maka PAS yang dipimpin oleh Datuk Asri Haji Muda, sanggup menjadi rakan perkongsian politik dalam wadah Barisan Nasional pada tahun 1974. Walaupun “kawin mutaah” PAS dengan UMNO tidak kekal lama, namun para penyokong PAS sudah merebak sampai ke dalam kampus universiti dan juga di berbagai rancangan tanah Felda.
ABIM di bawah Anwar menjadi sebuah NGO yang berpengaruh dan mempunyai ramai pengikut. Semangat Melayu dan Islam yang tercetus selepas 13 Mei, menjadikan Islam sebagai suatu kekuatan politik dan budaya yang kuat di kalangan generasi muda pada waktu itu.
Kalau kebanyakan pemimpin PAS hanya berlegar di keliling serban mereka dan memperalatkan Islam untuk menyebarkan pengaruh politiknya, Anwar pula menyebarkan perjuangan Islam ke peringkat antarabangsa.
Melalui ABIM, Anwar mendapat perhatian dan sokongan berbagai pemimpin Islam di negara-negara Arab, Pakistan dan Indonesia. Melalui berbagai jaringan kerjasama beliau dengan berbagai pemimpin negara-negra Barat khasnya Amerika, Anwar dianggap oleh para pemimpin Barat sebagai pemimpin Islam yang liberal.
Walaupun beliau hanya memimpin ABIM, sebuah NGO Islam, namun penghormatan dan sanjungan yang diperolehinya dari berbagai ketua-ketua kerajaan asing lebih menyerlah dari Perdana Menteri sendiri!
Anwar sedar dia tidak boleh menjadikan nasionalisme Melayu sebagai produk politik untuk mendapat sokongan dan kerjasama dari ketua-ketua kerajaan asing. Tapi bila dia memperlihatkan ketokohannya sebagai pemimpin Islam liberal, maka dengan sendirinya dia mendapat perhatian dari ketua-ketua kerajaan asing, khasnya dari kalangan Barat.
Oleh kerana Barat lebih senang berbicara kepentingan politik mereka dengan para pemimpin Islam liberal dan bukan fundamentalis yang dianggap Barat super kolot dan berbau militan.
Melihat dari neraca politik semasa, Islam boleh menjadi suatu kuasa besar dalam arena politik dunia. Dalam buku Samuel P Huntington, ‘The Clash of Civilization’, dia memperlihatkan Islam sebagai suatu kuasa yang bersaing hebat dengan kuasa Kristian. Komunisme sudah habis tenaga dan pengaruh sebagai suatu ideologi yang boleh menguasai dunia.
Tapi Islam dengan penganutnya lebih dari 1.5 bilion di dunia yang kaya dengan hasil minyak dalam perut buminya, menjadikan negara-negara Islam suatu blok politik yang tidak boleh diremeh-remehkan oleh Barat.
Anwar tahu kekuatan dan pengaruh Islam. Dia juga ada bakat yang luar biasa yang sukar diperolehi oleh sebahagian besar para pemimpin politik tempatan dan antarabangsa, iaitu kebijaksanaannya sebagai pemidato yang boleh memukau khalayak ramai. Ini “tangkal azimat” Anwar yang sukar ditandingi oleh para ahli politik yang lainnya.
No comments:
Post a Comment