Monday, 8 October 2012

Kerajaan Negeri Selangor Pantau Ajaran Sesat




SELAYANG : Kerajaan Negeri akan menjalankan pemantauan berterusan ke atas program bercorak keagamaan supaya aktiviti penyebaran ajaran sesat di Selangor dapat dibendung daripada berleluasa.

Menteri Besar,Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata bagi tujuan itu Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) diarah berusaha meningkatkan kefahaman agama Islam di kalangan rakyat negeri ini.

Menurutnya, kerja pencegahan dan pemantauan oleh JAIS adalah rutin biasa yang dijalankan dari masa ke semasa.

"Perkara ini memang biasa dan untuk mengingatkan masyarakat Islam dan JAIS ada satu jabatan iaitu Jabatan Dakwah yang memantau perkara ini.

"Bagaimanapun cara dilakukan bukan secara agresif tetapi cara mengingatkan semua pihak serta masyarakat Islam mengenai cara yang betul dalam menjalankan aktiviti keagamaan," katanya kepada media selepas majlis perasmian Festival Jalanan Daerah Gombak dan Festival Silat Selangor di sini semalam.

Abdul Khalid berkata demikian sebagai mengulas laporan terbaru terdapat 30 ajaran sesat di Selangor baru-baru ini.

Beliau seterusnya berkata, Kerajaan Negeri juga memaklum terdapat sebahagian program keagamaan dijalankan menggunakan golongan fakir miskin bagi tujuan kebajikan dan pihaknya sudah mengkaji perkara berkenaan.

Tambahnya, pemantauan turut dilakukan JAIS terhadap aktiviti bercorak kebajikan demi memastikan program tersebut adalah betul supaya usaha mengembangkan agama Islam dilakukan menerusi cara yang dipraktikkan di Selangor.

"Kalau ada keadaan yang dirasakan kita perlu pantau dan sekat baru kita lakukan tetapi Jabatan Mufti dari masa ke semasa mengingatkan masyarakat Islam supaya berjaga-jaga dan dapat melakukan ajaran mengikut lunas-lunas agama yang dipersetujui Kerajaan Negeri," katanya.

No comments:

Post a Comment