Monday, 8 October 2012

Calon Pilihan Raya Kampus UKM Dakwa Diugut Bunuh




KUALA LUMPUR: Enam calon Pilihanraya Kampus dari Pro Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (Pro-M UKM) hari ini menerima ugutan bunuh yang didakwa didalangi oleh Umno-BN.

Wakil Pro-M UKM, Ahmad Afif Zulkarnain berkata tindakan itu dilakukan supaya kampus UKM dikuasai oleh Pro Aspirasi yang ternyata memihak kepada parti itu.

Katanya, tujuan konspirasi itu dilakukan supaya meningkatkan moral Umno-BN dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Ke -13 akan datang.

"Ini juga jelas menunjukkan konspirasi Ops 2020 yang sedang giat berjalan di kampus-kampus di seluruh negara.

"Seperti yang kita tahu, Ops 2020 ini merupakan konspirasi campur tangan politik untuk menidakkan kebangkitan moral kepada pihak pembangkang," katanya dalam sidang media di Parlimen, hari ini.

Hadir sama Ahli Parlimen Padang Terap, Mohd Nasir Zakaria.

Afif menambah, ugutan bunuh itu juga diberitahu kepada keluarga calon dengan tujuan untuk memaksa calon menarik diri daripada bertanding.

"Selain itu, beberapa kain rentang yang mewakili calon-calon yang bertanding juga disabotaj dengan penyimbahan cat merah.

"Jika kita lihat, modus operandi ini sama seperti yang berlaku dalam senarion politik masa kini. Contohnya, isu simbahan cat ke atas bas jelajah merdeka rakyat," katanya.

Ekoran ugutan bunuh yang diterima itu, dua laporan polis dibuat oleh ahli keluarga mangsa di Kedah pagi tadi.

Mengulas lanjut, beliau berkata konspirasi itu turut dicampur tangan oleh Pengerusi Majlis Pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar, Prof Dr Othman A.Karim yang juga merupakan Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, UKM.

Antaranya, beliau membenarkan calon-calon aspirasi bertanding sedangkan pencalonnya pernah dibatalkan sebelum ini selain memaksa calon 'bidan terjun' untuk bertanding.

"Kami juga mendapati konspirasi 2020 ini dicampur tangan pihak media khususnya Utusan Malaysia yang cuba memutar belitkan fakta. Buktinya, dalam akhbar itu pada 22 September lalu, mereka memanipulasi gambar perarakan Pro-M UKM," katanya.

Sehubungan itu, pihaknya menggesa Umno-BN supaya tidak campur tangan dalam urusan pemilihan pelajar dan memberikan autonomi kepada kampus.

Setakat ini, Pro - M memenangi tujuh kerusi tanpa bertanding daripada 28 kerusi yang dipertandingkan.

No comments:

Post a Comment