Belum pun reda isu gambar separuh bogel yang didakwa miripnya, nama Rozita Che Wan kembali hangat diperkatakan.

Ditimpa kontroversi bertimpa-timpa,  Rozita yang lebih mesra disapa Che Ta, kembali dikaitkan dengan hubungan cinta bersama golongan VIP yang lebih kurang sama versinya dengan kisah sebelum ini.

Malah ada pihak mendakwa, penerbangan Che Ta ke Kota London yang ditemani adiknya pelakon, Ayu Raudhah, baru-baru ini turut ‘diselitkan’ dengan kehadiran bekas menteri.

Menurut sumber, bekas menteri itu memberikan tiket kepada Che Ta, berdasarkan nombor tempahan tiket yang sama. Malah kemesraan mereka juga turut mencuri tumpuan krew apabila dilihat bersama dalam penerbangan itu.
Walaupun Che Ta kini berada di Jepun untuk menjalani penggambaran musim terbaru, Kiah Pekasam, berjudul, Kiah Spy Jepun, Zass berjaya mendapatkan penjelasan dari pelakon jelita ini.
“Bekas menteri mana pula ni? Dari mana pula cerita ini timbul? Saya tak faham lah dengan individu yang suka sangat kaitkan saya dengan pelbagai cerita tidak betul ni.
“Saya sendiri tak tahu menteri mana yang dikaitkan dengan saya kali ini. Sejujurnya, saya dah lali dengan situasi seperti ini," katanya yang bakal muncul dalam program bual bicara, Primadona, bersama Erra Fazira, Ziela Jalil dan Raja Azura.
Sementara itu, berhubung dakwaan gambar separuh bogel miripnya itu,  Che Ta nekad untuk menyaman wartawan hiburan tempatan yang cuba mengeruhkan lagi keadaan.


Anak kena tempias

Menyedari pancaroba bergelar anak seni sentiasa mengekori perjalanannya sebagai pelakon, Che Ta sudah lali dengan apa yang berlaku.

Malah, perkara itu sedikit pun tidak mematahkan semangatnya untuk terus berjuang dalam industri demi membesarkan dua puteranya, Ammar Effendi, 15 dan Aniq Ezra, 14.

Akui bimbang akan penerimaan anak-anak mengenai kisah kurang enak yang bertebaran, namun, Che Ta bersyukur kerana anak-anaknya sangat memahami dan tidak mudah terpedaya dengan kisah yang sengaja direka oleh pihak tertentu untuk meraih publisiti.

“Alhamdulillah, anak-anak sangat memahami persekitaran kehidupan sebagai selebriti yang sentiasa menjadi tumpuan, walhal cerita itu tidak pernah terjadi.

“Malah, mereka tahu dengan siapa saya berkawan dan apa yang saya buat. Mereka lebih bijak menilai siapa saya,” kata pelakon drama, Bunga-Bunga Syurga ini. - Sinar