Saturday, 27 April 2013

Manifesto PRU12 Tak Tertunai, Tambah Lagi #ManifestoBukanJanji #PRU13!!


Koordinator Barisan Nasional (BN) Selangor, Datuk Seri Ir. Mohd. Zin Mohamed berkata, mengikut kajian yang dilakukan, hampir keseluruhan manifesto pakatan pembangkang pada Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU-12) hanyalah janji kosong yang dijadikan umpan untuk memancing undi.

Beliau berkata, pakatan pembangkang secara terang-terangan telah menipu rakyat demi meraih sokongan untuk memerintah di Selangor.

"Banyak janji-janji PRU-12 tidak ditunaikan oleh pakatan pembangkang dan ia membuktikan mereka tidak mampu untuk menjadi pentadbir yang baik.

"Manifesto yang dilancarkan oleh pakatan pembangkang baru-baru ini juga nampaknya memakan diri mereka sendiri, mereka hanya memainkan cerita lapuk yang sama dengan sesi ceramah mereka," katanya pada satu sidang akhbar di sini hari ini.

Menurut Mohd. Zin, yang juga Timbalan Pengarah Pilihan Raya Selangor, pakatan pembangkang tidak boleh menjadikan negeri ini sebagai contoh kejayaan mereka untuk mentadbir negara kerana sudah terbukti pentadbiran mereka di Selangor gagal.

Ujar beliau, trend pelaburan kerajaan negeri mengikut Laporan Ketua Audit Negara 2011 secara keseluruhannya menunjukkan dividen yang diterima dari 2007 hingga 2011 adalah berjumlah RM5.91 juta daripada kos pelaburan.

"Kadar pulangan dividen berkenaan adalah sangat rendah dan sangat tidak memuaskan, namun Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid menggunakan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) sebagai helah mahu menutup kelemahan pengurusan pelaburan di peringkat kerajaan negeri," katanya.



Selain itu kata beliau, terdapat perkara yang dimuatkan dalam manifesto tersebut yang sebenarnya tidak mampu dilaksanakan, sebagai contoh janji untuk melaksanakan pendidikan percuma.

Jelas beliau lagi, BN juga pernah mendesak agar janji itu ditunaikan terlebih dahulu di institut pengajian tinggi yang terdapat di negeri tadbiran pakatan pembangkang.

"Namun sebaliknya yang berlaku, di Selangor sendiri masalah IPT seperti Universiti Selangor (Unisel) dan Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) masih belum diselesaikan.

"Malahan Laporan Ketua Audit Negara 2011 turut mengkritik tatacara pengurusan Unisel yang dilihat tidak profesional dan membawa kepada kerugian," katanya.

Sementara itu katanya, pakatan pembangkang juga berjanji dalam manifesto baharu mereka untuk memelihara 141,000 hektar tanah Orang Asli, namun sebaliknya berlaku di Selangor apabila kira-kira tujuh hektar tanah golongan berkenaan di Kuala Langat dipindah milik kepada orang lain.

Menurut Mohd. Zin, satu lagi janji dalam manifesto pakatan pembangkang ialah kononnya ingin menghapuskan monopoli dengan mewujudkan suruhanjaya antimonopoli.

"Saya fikir, tindakan ini sepatutnya dilaksanakan di Selangor terlebih dahulu apabila industri perlombongan pasir yang berharga berbilion ringgit hanya dimonopoli oleh sebuah syarikat sahaja iaitu Kumpulan Semesta Sdn. Bhd," katanya. -UM

No comments:

Post a Comment