DATUK SERI ANWAR, PALESTINE DAN ISRAEL
Pagi kelmarin, sekitar jam 9.30, Ketua Umum Parti Keadilan
Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah datang menemui saya. Tujuannya adalah
untuk menjelaskan maksud kenyataannya berhubung ‘keselamatan Israel’ yang
disiarkan oleh Wall Street Journal pada Januari lalu.
Mungkin juga beliau datang setelah mengetahui keputusan Majlis
Syura Ulama’ PAS minggu lepas yang menggesa beliau menarik balik kenyataan
dalam Wall Street Journal itu
yang difahami sebagai menyokong Israel.
Majlis Syura Ulama’ juga menggesa, sekiranya kenyataan itu
dilaporkan secara salah atau membawa maksud yang berbeza, maka beliau
dinasihatkan agar mengambil tindakan undang-undang dengan menyaman Wall
Street Journal bagi
membersihkan nama.
Pada pertemuan itu saya ditemani oleh Ketua Penerangan PAS Pusat,
Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man. Ia berlangsung dalam suasana harmoni. Datuk Seri
Anwar telah menjelaskan kesemua isu yang telah berbangkit.
Memahami penjelasan Datuk Seri Anwar, di sini saya mengulangi
pendirian PAS sebagaimana diputuskan oleh Majlis Syura Ulama’ , iaitu PAS
sekali-kali tidak mengiktiraf negara haram Israel. Maka PAS tetap istiqamah
menyokong perjuangan rakyat Palestine yang dihina di bumi sendiri. Terserahlah
kepada Datuk Seri Anwar untuk menerima pendirian PAS ini.
Bagi saya, pendirian PAS adalah wajar kerana kewujudan negara
haram Israel merupakan suatu kezaliman, tanpa peri kemanusiaan dan menafikan
hak umat Islam, malah merampas hak seluruh rakyat Palestine. Tambahan pula,
tindakan penguasa Israel yang tidak habis-habis menzalimi dan membunuh rakyat
Palestine, termasuk kanak-kanak, wanita dan orang tua. Justeru, adalah
haram menerima kewujudan negara Israel yang haram.
Pada saya, Datuk Seri Anwar memahami pendirian PAS yang tidak
mengiktiraf negara Israel dan menyokong sepenuhnya perjuangan rakyat Palestine.
Oleh kerana itu tidak berbangkit PAS telah menggadai prinsip perjuangan tatkala
bersama Pakatan Rakyat. Apa pun saya yakin, pihak Pakatan Rakyat tetap sepakat
dalam menyokong perjuangan rakyat Palestine untuk membebaskan tanah airnya
daripada cengkaman Israel yang zalim itu.
Justeru pada saya, adalah haram bersekongkol dengan pihak Israel
dalam apa bentuk hubungan sekalipun.
Nik
Abdul Aziz Nik Mat.
PNB Darby Park, Kuala Lumpur.
29 Rabi’ul Awal 1433 H | 22 Februari 2012.
No comments:
Post a Comment